Laporan Naratif Inisiatif Kelestarian : Kerja Pemuliharaan PC untuk Agihan Semula kepada Staf


Unit Pengurusan Aset ICT PPKT menguruskan lebih kurang 3000 set Komputer Meja (Desktop) bagi kegunaan staf di Kampus Induk USM. Hampir 1/3 daripadanya telah berusia lebih daripada 10 tahun dan masih dapat digunakan oleh staf. Set komputer-komputer meja tersebut yang diperolehi sekitar tahun 2009 masih boleh berfungsi dengan baik.
Terdapat beberapa aktiviti yang boleh dilakukan agar setiap komputer meja tersebut mampu untuk bertahan dalam tempoh jangka hayat yang panjang. Fokus utama yang perlu dititikberatkan adalah dari segi penjagaan fizikal komputer itu sendiri. Selain itu, pengemaskinian aplikasi yang digunakan secara berkala juga menjadi faktor penting dalam penjagaan komputer dan juga penggantian alat ganti dalaman yang sejajar dengan teknologi terkini berdasarkan kepada kemampuan motherboard komputer tersebut.
Di antara aktiviti yang dilakukan sebelum agihan semula komputer kepada staf ialah komputer yang dipulangkan tersebut akan melalui proses ‘health check’ fizikal iaitu mengenalpasti setiap peranti komputer yang dipulangkan tersebut adalah lengkap dan dalam keadaan baik. Set komputer adalah merangkumi CPU, monitor, keyboard, mouse dan kabel.
Bagi unit CPU, semburan udara (air blower) atau penyedut habuk (vaccum cleaner) digunakan bagi pembersihan habuk dan debu di luar dan dalam casing. Ini penting agar CPU mempunyai aliran udara yang mencukupi dan bilah kipas adalah bersih untuk memastikan udara sejuk bergerak melalui komponen pada papan induk (motherboard). CPU juga tidak boleh diletakkan pada ruangan yang sempit kerana itu akan memerangkap haba. Aliran udara yang baik dapat menjaga komponen (hardware) terutama di bahagian processor. Habuk pada papan induk (motherboard) perlu dibersihkan dalam memastikan agar tiada debu pada setiap kabel, slot RAM, USB dan slot-slot yang lain. Monitor, keyboard dan mouse juga perlu dibuat pembersihan daripada habuk dan debu. Selepas proses pembuangan habuk dan debu tersebut, alatan akan dibersihkan dengan menggunakan kain microfiber dan pembersih khas.
Selain kerja pemuliharaan secara fizikal bahagian luaran tersebut, jangka hayat komputer juga boleh dipanjangkan dengan menaiktaraf perkakasan seperti RAM dan storan (hard disk) yang digunakan. Bagi set komputer model Dell Optiplex 780 (CoreQuad) perolehan tahun 2011, proses naik taraf telah dibuat sejak tahun 2021 dengan menggantikan storan jenis HDD (Hard Disk Drive) kepada SSD (Solid State Drive). Ia membuatkan operasi menyimpan dan mengguna semula data (store and retrieve) lebih laju, tahan lama dan kurang penggunaan kuasa (less energy). Begitu juga dengan proses naik taraf penggunaan RAM kepada kapasiti yang lebih tinggi berdasarkan kepada slot yang bersesuaian dengan papan induk (motherboard) model komputer tersebut, contohnya 4GB RAM boleh dinaiktaraf kepada 8GB RAM. Dengan spesifikasi ini, model komputer tersebut masih mampu untuk menggunakan sistem pengoperasian Windows 10 dengan sempurna untuk masa kini.
Dari segi aspek keselamatan ICT pula, komputer-komputer yang dibekalkan kepada staf telah pun dikemaskini dari segi windows update yang terkini versi 22H2 dan juga dimasukkan program antivirus daripada PPKT iaitu ESET Endpoint Security. Tujuannya adalah untuk memastikan agar komputer-komputer tersebut adalah bebas daripada serangan virus dari peringkat awal lagi. Kesimpulannya, penjagaan komputer secara menyeluruh bermula dari peringkat fizikal, perkakasan dalaman, sistem pengoperasian dan akhir sekali kepada proses windows update dan security update yang akan membuatkan komputer tersebut dapat berfungsi untuk jangka masa yang panjang mengikut kesesuaian teknologi ketika ini.
Laporan & Gambar : Unit Pengurusan Aset ICT PPKT