Skip to main content

Program Kongsi K.A.S.I.H@PPKT

PULAU PINANG, 14 November 2024 – Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) dengan kerjasama Pusat Islam USM dan Kelab PPKT telah berjaya menganjurkan Program Kongsi K.A.S.I.H@PPKT pada 14 November 2024. Program ini bertujuan untuk membantu warga USM, terutamanya pelajar dan staf yang memerlukan melalui agihan pakaian/buku terpakai, makanan, minuman dan keperluan asas yang diperolehi melalui sumbangan khasnya daripada staf PPKT, Pusat Islam dan juga staf USM umumnya. Aktiviti ini merupakan satu inisiatif yang berjaya memupuk semangat kesukarelawanan dan kebajikan dalam kalangan warga PPKT. Ia turut mendapat sokongan penuh daripada Pejabat Naib Canselor, menandakan komitmen universiti terhadap kesejahteraan komuniti kampus.

Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai sumbangan telah diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Sambutan yang diterima adalah amat-amat menggalakkan termasuk juga daripada pelajar-pelajar antarabangsa. Secara tidak langsung menunjukkan solidariti dan semangat saling membantu dalam kalangan warga kampus.

Menurut jurucakap penganjur, "Kongsi K.A.S.I.H@PPKT adalah platform untuk kita bersama-sama meringankan beban warga kampus yang memerlukan. Program ini juga telah berjaya menyemai rasa prihatin dan kasih sayang sesama warga USM." Program dengan tema “Kongsi Rezeki, Kongsi Bahagia” ini juga telah memberikan impak positif kepada komuniti kampus. Ia diharap dapat menjadi inspirasi kepada inisiatif kebajikan lain pada masa hadapan.

Laporan : Suhaini Ahmad (Ketua Teras Aspirasi, K.A.S.I.H@PPKT)

Gambar