USM Meningkat ke Kedudukan ke-2 di Malaysia dalam Penarafan Webometrics
Universiti Sains Malaysia (USM) mempamerkan peningkatan yang signifikan dalam penarafan Webometrics atau Webometrics Ranking of World Universities yang telah diumumkan pada edisi Julai 2024. USM berjaya memperbaiki kedudukannya dengan menaiki tangga ke-2 di Malaysia dan ke-479 di peringkat dunia selepas Universiti Malaya (UM). Pada penarafan sebelum ini, USM berada di tangga ke-4 di Malaysia selepas UM, UTM (Universiti Teknologi Malaysia) dan UPM (Universiti Putra Malaysia), dan ke-491 di peringkat dunia. Sejak diperkenalkan pada tahun 2007, USM telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam penarafan Webometrics. Keupayaan dan kemampuan USM berada pada kedudukan tersebut mencerminkan keupayaan Universiti ini untuk terus kekal bersaing secara kompetitif dan berada di tahap yang sama dengan institusi pendidikan tinggi ternama dunia.
Penarafan Webometrics, atau dikenali sebagai Webometrics Ranking of World Universities yang menilai prestasi universiti di seluruh dunia berdasarkan kehadiran dan aktiviti mereka dalam talian. Penilaian ini tidak hanya tertumpu kepada laman web universiti semata-mata, tetapi kepada keseluruhan impak institusi tersebut di dalam talian. Sistem penarafan Webometrics menggunakan tiga kriteria utama dalam menentukan penarafan universiti iaitu :
Keterlihatan (Visibility) - 50%
Kriteria ini menilai bilangan pautan luar (subnet) yang dibuat ke laman web universiti di mana semakin banyak pautan luar maka semakin tinggi keterlihatan institusi tersebut di dunia maya.
Keterbukaan (Transparency) - 10%
Kriteria ini mengukur bilangan petikan (citation) yang diterima oleh penyelidik dari USM yang mencerminkan sejauh mana universiti berkongsi dan menyumbang pengetahuan dalam bidang akademik.
Kecemerlangan (Excellence) - 40%
Kecemerlangan dinilai berdasarkan jumlah penyelidikan USM yang diterbitkan dan dirujuk oleh komuniti akademik global di mana ianya menunjukkan tahap impak penyelidikan yang dihasilkan.
Peningkatan yang signifikan dalam penarafan Webometrics ini bukanlah suatu tugas mudah yang dapat dicapai dalam masa yang singkat. Ianya memerlukan perancangan dan usaha yang bersepadu, strategi yang mantap, dan pelaksanaan secara konsisten yang melibatkan semua pihak yang merangkumi aspek keterlihatan, keterbukaan, dan kecemerlangan. Di USM, Jawatankuasa Kerja Laman Sesawang Baharu USM dan Webometrics di bawah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi) memainkan peranan penting dalam memastikan segala inisiatif berjalan dengan lancar bagi mencapai matlamat ke arah peningkatan dalam penarafan Webometrics ini.