Kolaborasi Aktiviti Audit Dalaman ISMS PPKT bersama Universiti Awam
PPKT buat julung kalinya melaksanakan kolaborasi aktiviti Audit Dalaman ISMS bersama wakil Universiti Awam (UA) pada 22 hingga 24 Januari 2024 yang lalu. Aktiviti Audit Dalaman ISMS merupakan aktiviti wajib yang dilaksanakan secara tahunan bagi memenuhi syarat pensijilan ISO/IEC27001:2013. Pada tahun-tahun sebelumnya, aktiviti ini hanya melibatkan wakil PTJ dalaman USM iaitu wakil Perpustakaan Kampus Induk, Unit Audit Dalam dan PPKT sendiri sebagai auditor. Kolaborasi ini adalah inisiatif Pengarah PPKT sendiri yang membentangkan perkara ini di platform Majlis Pengarah- Pengarah ICT IPTA (MAPITA). MAPITA bersetuju dengan inisiatif ini dan seterusnya PPKT menjadi peneraju kepada kolaborasi ini.
Untuk merealisasikan perkara ini, PPKT telah menjemput wakil UA yang berminat untuk menjadi auditor dan juga sebagai pegawai pemerhati. Hasilnya lima wakil UA dilantik sebagai auditor dan empat wakil sebagai pegawai pemerhati. Untuk kali ini, wakil UA yang terlibat ialah dari UTHM, UNIMAS, UNIMAP, UMT, UMPSA dan USIM.
- Mendedahkan auditor dan auditee USM terhadap cara pengauditan yang dilakukan di UA lain
- Dapat bertukar – tukar maklumat dan kemahiran untuk auditor
- Dapat mendedahkan juruaudit USM kepada persekitaran audit dalaman UA lain
Aktiviti audit ISMS boleh dianggap sebagai sebahagian daripada SDG (Sustainable Development Goals), kerana ia membantu memastikan keselamatan dan daya tahan sistem maklumat dan data, yang penting untuk mencapai banyak sasaran SDG. Sebagai contoh, audit ISMS boleh menyokong SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).
Laporan disediakan: Mahadi Yusof