PRA-BENGKEL ‘ICT STRATEGIC PLAN’ (ISP) KETIGA BAGI TEMPOH 2016-2020
19 – 20 November 2014 – Pra-Bengkel ‘ICT Strategic Plan’ (ISP) 2016-2020 telah diadakan pada 19 hingga 20 November 2014 bertempat di Bilik Seminar PPKT, Aras 2, Kompleks Eureka, dengan dirasmikan oleh Pengarah selaku Ketua Pegawai Maklumat PPKT, Encik Zulham Hamdan. Perencanaan IPS Ketiga (2016 – 2020) ini diketuai oleh Encik Fadzil Saidin, Timbalan Pengarah, Bahagian, Infostruktur, PPKT. Seramai lebih 60 para pegawai PPKT telah menghadiri bengkel ini yang dimulakan dengan taklimat pengenalan oleh En. Fadzil Saidin.
Bengkel diteruskan dengan sesi percambahan fikiran pada sebelah sesi pagi diikuti dengan sesi perbincangan dalam lima kumpulan berfokus iaitu Infostruktur, Aplikasi & e-USM, Pentadbiran & Sokongan, Kampus Cawangan dan ICT Governan pada sesi petang. Para pegawai digalakkan menyediakan rencana ISP mengikut format ‘initiative profile’ sepertimana yang telah dijelaskan oleh En. Fadzil mengikut pendekatan penyediaan justifikasi yang terperinci seperti yang telah dijelaskan oleh Pengarah semasa Taklimat Pengarah pada 17 November 2014.
Bengkel pada hari kedua diteruskan pula dengan sesi pembentangan oleh setiap kumpulan yang dijalankan pada sesi pagi. Hasil pembentangan kali ini akan diperhalusi lagi dan dimurnikan dalam Pra-Bengkel ISP Ketiga Siri Lanjutan yang akan diadakan dalam masa terdekat. Dokumen ISP Ketiga yang telah dimurnikan akan dibentangkan untuk penilaian dan pengesahan oleh para pemegang taruh pada suku pertama tahun 2015.