MDeC ICON3 Program 2015 @ PPKT
16 – 20 November 2015 – PPKT telah terpilih menjadi tuan rumah program MDeC ICON3 Program 2015 peringkat Pulau Pinang yang ditawarkan oleh pihak Multimedia Development Corporation (MDeC). Program ini merupakan latihan pembangunan mobile apps yang telah diadakan di Makmal 3, PPKT, Aras 2, Kompleks Eureka dengan penyertaan seramai 21 orang staf pembangunan aplikasi yang terdiri daripada Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan, Kampus Kesihatan dan IPPT Bertam. ICON3 telah dirasmikan oleh pihak MDeC pada 1 September 2015 yang lalu buat kali ketiga sejak tahun 2009.
Sesi latihan ini telah dikendalikan oleh perunding yang dilantik oleh MDeC iaitu NIM Training & Consultancy, En. Norazizi Mohamad bersama tenaga pengajar, En. Razi. Latihan pembangunan mobile apps ini berlangsung selama 5 hari yang meliputi:
- ICON Apps: Training Session (4 hari) – peserta telah didedahkan dengan latihan membangunkan mobile apps secara teknikal menggunakan platform iOS dan Android. Skop latihan yang telah dijalankan untuk menghasilkan mobile apps iOS Native, Android Native dan Hybrid.
- Pitching Session (1 hari) – peserta telah membentangkan idea dan prototaip mobile apps yang akan dibangunkan. Pn. Masliza Mohamad Dahalan, wakil MDeC dan En. Mazlifendirizan Md Rejab, Ketua Seksyen Sistem Maklumat PPKT telah hadir untuk membuat penilaian idea-idea apps yang telah dibentangkan berdasarkan impak kepada Universiti dan komuniti.
Program ini telah memberi peluang dan pengalaman yang baik untuk staf pembangunan aplikasi meningkatkan kompetensi di dalam pembangunan mobile apps yang bersifat mendepani dan seiring dengan perkembangan teknologi terkini.
Maklumat lanjut berkaitan ICON3 boleh rujuk disini: http://www.mscmalaysia.my/icon3
Teks: Abdul Rashid & Nurzalina
Foto: Nurzalina